Saudaraku yang budiman,
Di dalam al-Quran banyak menyebut perihal sabar, antaranya dalam surah al-Baqarah, ayat 153: “Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar”. Begitu juga, banyak hadith baginda S.A.W. yang menyebut tentang sabar seperti sabda baginda yang diriwayatkan oleh Abu Na’im dan Khatib: “Sabar sebahagian dari iman”.
Setiap manusia di bumi Allah ini tidak akan terlepas daripada mehnah, ujian, dan tribulasi, yang mana dengan ujian itu akan mematangkan diri serta mendidik jiwa agar sentiasa bersabar, kerana di sebaliknya hikmah yang tidak terungkap dek kata-kata, malahan dengan kesabaran yang tinggi itu memantapkan keyakinan kepada Allah al-Wahhab.
Pun begitu, salah sama sekali sekiranya memohon kepadaNya agar diberi ujian dan kesusahan hidup agar dengan ujian itu dapat meningkatkan lagi keimanan kepadaNya. Ini bukanlah yang dianjur oleh Islam, dan baginda S.A.W sendiri sentiasa memohon kepada TuhanNya agar dilindungi daripada bencana dan musibah.
Saudaraku yang budiman,
Adakala kita diuji dengan ujian yang amat berat untuk dipikul, tetapi dengan berkat kesabaran yang tinggi, akhirnya manis yang kita hirup di hujungnya. Imam al-Ghazali telah memberi tips kepada mereka yang dilanda ujian, bagaimana untuk berdepan dengan ujian agar jiwa tidak kecundang daripada iman. Mari kita hayati nukilan al-Imam ini:
“Setiap kemiskinan, kesakitan, ketakutan, dan semua bencana di dunia ini di dalamnya terdapat lima perkara yang patut dijadikan bahan untuk bergembira bagi setiap orang yang berakal, dan bahkan perlu sama sekali untuk disyukuri kerana ia dapat dianggap sebagai kenikmatan. Jelasnya ialah:
Pertama: setiap bencana atau kesakitan itu dapat dibayangkan yang lebih besar dan lebih mengerikan daripada yang dihadapinya, atau yang sedang dideritanya. Sebabnya ialah kerana apa yang ditakdirkan oleh Allah Taala itu dapat dibatasi. Segala sesuatu pasti dalam kekuasaanNya. Kerana itu, bayangkanlah bagaimana sekiranya bencana atau sakitnya itu dilipatkan atau ditambah oleh Allah Taala, apakah kiranya dapat ditolak atau dihalang kedatangannya.
Nah, oleh kerana itu, patutlah orang yang sedang terkena bencana, atau yang sedang sakit itu bersyukur kepada Tuhan. Sebab tidak sampai diberi yang lebih hebat, lebih parah dan lebih menyedihkan di dunia ini. Terutama jikalau semuanya itu ditangani dengan kesabaran, maka pahalanya akan berlipat ganda pula, sedang keburukannya dapat dikurangi sebab sabarnya tadi.
Kedua: Datangnya bencana itu mungkin sekali sebagai musibah kerana kekurangan taatnya dalam agama. Oleh kerana itu, dalam sebuah keterangan disebutkanlah doa yang diajarkan oleh Nabi Isa a.s. kepada kita, demikian "اللهم لا تجعل مصيبتنا في ديننا" (Ya Allah, janganlah menjadikan musibah kami ini sebab keteledoran kami mengerjakan agama).
Ketiga: Sesuatu bencana atau musibah itu hendaklah digambarkan bagaimana sekiranya diakhirkan sampai di akhirat nanti. Bukankah lebih baik disiksa di dunia ini sahaja daripada dinantikan sampai hari kiamat.
Semua orang hendaknya mengingati selalu bahawa bencana di dunia ini masih dapat diringankan dengan hal-hal yang lain sehingga akan dirasakan tidak seberapa bagi penderitaannya dalam tubuh dan jiwa, sedang bencana akhirat kelak adalah kekal untuk seterusnya. Maka daripada itu hendaklah dibayangkan bahawa musibah yang diterimanya di dunia ini mudah-mudah sahaja sebagai seksaan yang disegerakan semasa hidupnya di alam fana ini agar supaya tidak merasakannya lagi nanti di akhirat. Jikalau demikian, mengapa bencana yang bahkan akan menyebabkan keselamatan dirinya di akhirat nanti tidak disyukuri?
Keempat: Sebenarnya semua bencana atau musibah itu sudah ditentukan secara pasti dan tercatat tanpa ada yang kuasa mengubahnya selain Allah Taala sendiri. Ketentuan dan catatan itu sudah ada sejak azali di Ummulkitab (Induk catatan) yang ada di sisi Allah SWT. Semua yang sudah ditentukan dan dipastikan akan dating juga. Jadi jikalau sudah dialami, bererti sudah selesai dan orang yang terkena itu sudah terlepas daripada sebahagian bencana yang dipastikan untuknya atau sudah terlepas sama sekali, sebab sudah ridak ada lagi bencana yang tercatat untuknya selain yang dialaminya itu.
Jikalau demikian, maka tibanya bencana tadi adalah sebagai kenikmatan, sebab sudah terlepas daripada bencana yang tertentu.
Kelima: Bahawa pahala yang akan diperolehnya tentu lebih besar lagi dengan adanya musibah itu. Sebabnya ialah kerana bencana dunia ini adalah sebagai jalan untuk menuju ke akhirat dan semua bencana dalam urusan keduniaan itu dapat diumpamakan sebagai ubat yang pahit yang akan memberikan kemanfaatan di hari yang akan datang.
Seseorang yang dapat menginsafi demikian ini tentu dapat membayangkan bagaimana caranya hendak bersyukur jikalau mendapatkan bahaya. Sebaliknya orang yang tidak dapat menyedari hal ini, tentunya sukar untuk menggambarkan bagaimana bencana atau musibah malahan disyukuri. Baginya kesyukuran hanyalah mengikuti atau menyertai kenikmatan yang tampak secara jelas. Padahal sebenarnya syukur yang lebih utama adalah yang dengan mema’rifati bentuk kenikmatan itu dalam keadaan darurat. Maka dari itu, barangsiapa yang belum dapat mempercayai bahawa pahala terkena musibah itu sebenarnya lebih besar daripada musibah itu sendiri, maka tentunya tidak dapat membayangkan bagaimana hendak mensyukuri jikalau terkena musibah itu.
Perihal keterangan-keterangan dan nas-nas agama yang berhubungan dengan pahala kesabaran jikalau ditimpa musibah itu amat banyak sekali. Kiranya cukuplah untuk memguraikannya itu dengan mengutip sebuah firman Allah Taala dalam al-Quran “Hanyasanya orang-orang yang sabar itu akan dipenuhi pahalanya tanpa ada hitungannya”.
Sekalipun kita sudah mengetahui betapa besarnya pahala orang yang sabar memperoleh bencana, namun jangan sekali-kali kita mengaharapkan datangnya bencana itu pada diri kita. Yang demikian ini salah sekali. Apalagi kalau kita mencari-carinya.
Rasulullah S.A.W. yang sudah mengetahui keutamaan kenikmatan yang berbentuk bencana itu, tetapi tetap juga memohonkan kepada Allah Taala dalam doamya agar dilindungi daripada bencana dunia dan akhirat. Beliau S.A.W. juga mohon perlindungan kepada Allah Taala, jangan sampai ditasymit oleh musuh. Tasymit musuh itu ertinya musuh itu menjadi gembira kerana baginda S.A.W. memperoleh bencana. Banyk lagi yang dimohonkan oleh baginda S.A.W. agar Allah melindunginya, yang semuanya itu berupa bencana dan kesengsaraan.
Dalam sebuah hadith disebutkan: ”Mintalah kamu semua kepada Allah akan kesihatan (keselamatan daripada bencana), sebab tidak seorang yang diberi kurnia oleh Allah yang lebih daripada itu, melainkan keyakinan” (diriwayatkan oleh Ibnu Majah dan Nasaie).
Yang dimaksudkan dengan keyakinan (keimanan) ialah keselamatan hati dari segala macam penyakitnya seperti bodoh atau bimbang. Keselamatan hati adalah lebih utama daripada keselamatan badan.
Juga dalam doanya, baginda S.A.W. berkata: ”Keselamatan yang Engkau kurniakan adalah yang tercinta padaku” (diriwayatkan oleh Ibnu Ishaq).
Sebagai akhir bab ini, marilah kita memohon kepada Allah Taala semoga dengan keutamaanNya, dilimpahkan kenikmatanNya pada seluruh makhluknya yang berupa kesentosaan dan kesejahteraan serta keselamatan baik dalam hal dunia, agama dan akhirat, lebih-lebih untuk kita sekalian dan seluruh kaum Muslimin sedunia, amin.
Allahu Rabbuna